Laporan media asing mengenai kehilangan pesawat MH370 di lihat sebagai mempunyai agenda yang tersurat apabila menghentam dan mengkritik keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menguruskan kehilangan pesawat itu.
Serentak dengan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, mengingatkan agar anggota tentera tidak sesekali termakan dengan hasutan agenda media asing yang cuba memutar belitkan perkara tersebut.
“Kita menerima kecaman hebat daripada media-media di luar negara yang mengeksploitasikan keadaan dialami oleh waris-waris penumpang MH370 ini.
“Percayalah ini adalah agenda media luar negara dan kita jangan sekali-sekali termakan hasutan agenda-agenda semua ini,” katanya .
Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Eksesais Pahlawan Siri 15/2014 di Kementerian Pertahanan di sini pada Isnin.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Zulkefli turut menyentuh perkara sama apabila beliau menyifatkan laporan-laporan yang dibuat oleh media asing adalah keterlaluan dan tidak benar.
“Saya merasakan bahawa laporan-laporan yang dibuat oleh setengah-setengan media asing ini adalah tidak betul, keterlaluan dengan tidak mengambil kira keadaan sebenarnya.
“Mereka tidak mengambil kira kekangan-kekangan yang dihadapi oleh Malaysia kerana dalam keadaan tertentu tidak membolehkan kita melakukan sesuatu seperti menyampaikan maklumat,” jelas Zulkefli.
Zulkefli berkata, Malaysia juga di tuduh lewat menyampaikan maklumat sedangkan informasi yang diperoleh perlu disahkan terlebih dahulu dan kadang-kala memerlukan tindakan bersendirian.
“Kita jangan sama sekali berputus asa dengan kerenah dan media-media asing yang cuba memperlekehkan kita yang menuduh kita tidak telus dan cuba menyembunyikan maklumat.
“Kita tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa dan keutamaan kita adalah mencari MH370,” tambah Zulkefli.
Menurut Zulkefli kehilangan MH370 yang memasuki hari ke-23 itu merupakan satu peristiwa yang tidak pernah terjadi dan negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah yang terbesar berbanding operasi yang sama sebelum ini.
Jelas beliau, ATM juga telah mengerakkan aset ketenteraan di Lautan Hindi bagi misi mencari tersebut.
ATM sebelum ini menerima kritikan pelbagai pihak apabila dilihat tidak berupaya untuk mengesan pesawat MH370 dengan lebih awal.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.